Al-Qiyamah
Surah 75 - 40 Verses
Read Online:
https://qurankini.com/v2/surah/75/reading
1Aku bersumpah dengan Hari Kiamat,
2Dan Aku bersumpah dengan jiwa yang sangat menyesali (dirinya sendiri),
3Adakah manusia menyangka bahawa Kami tidak akan menghimpunkan tulang-belulangnya?
4Bahkan, Kami berkuasa untuk menyusun kembali hujung jari-jemarinya dengan sempurna.
5Bahkan manusia itu hendak melakukan maksiat terus-menerus.
6Dia bertanya: Bilakah Hari Kiamat itu?
7Maka apabila penglihatan menjadi silau,
8Dan bulan telah hilang cahayanya,
9Dan matahari serta bulan dihimpunkan,
10Pada hari itu manusia berkata: Ke manakah tempat lari?
11Sekali-kali tidak! Tidak ada tempat perlindungan.
12Kepada Tuhanmu pada hari itu tempat kembali.
13Diberitakan kepada manusia pada hari itu apa yang telah dia kerjakan dan apa yang dia tinggalkan.
14Bahkan manusia itu menjadi saksi atas dirinya sendiri,
15Sekalipun dia mengemukakan alasan-alasannya.
16Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk (membaca) Al-Quran kerana hendak cepat (menguasai)nya.
17Sesungguhnya atas tanggungan Kami-lah menghimpunkannya dan membacakannya.
18Maka apabila Kami telah membacakannya, ikutilah bacaannya itu.
19Kemudian sesungguhnya atas tanggungan Kami-lah penjelasannya.
20Sekali-kali tidak! Bahkan kamu mencintai kehidupan dunia,
21Dan kamu mengabaikan Akhirat.
22Wajah-wajah pada hari itu berseri-seri,
23Kepada Tuhannya mereka melihat.
24Dan wajah-wajah pada hari itu muram,
25Mereka yakin bahawa akan ditimpakan kepadanya malapetaka yang dahsyat.
26Sekali-kali tidak! Apabila (nyawa) telah sampai ke kerongkong,
27Dan dikatakan: Siapakah yang dapat menyembuhkan?
28Dan dia yakin bahawa itulah waktu perpisahan,
29Dan bertautlah betis (kiri) dengan betis (kanan),
30Kepada Tuhanmu pada hari itu kamu dihalau.
31Maka dia tidak membenarkan dan tidak pula solat,
32Tetapi dia mendustakan dan berpaling,
33Kemudian dia pergi kepada keluarganya dengan sombong.
34Celakalah kamu, maka celakalah!
35Kemudian celakalah kamu, maka celakalah!
36Adakah manusia menyangka bahawa dia akan dibiarkan begitu sahaja?
37Bukankah dia dahulu setitis nutfah yang dipancarkan?
38Kemudian dia menjadi segumpal darah, lalu Dia menciptakannya dan menyempurnakannya,
39Lalu Dia menjadikan daripadanya sepasang lelaki dan perempuan.
40Adakah (Zat) yang demikian itu tidak berkuasa untuk menghidupkan orang mati?