Ya-Sin

Surah 36 - 83 Verses

Translation: Quran Kini Project

Language: Malay

Generated: January 31, 2026

Read Online:

QR Code
1Yasin. 2Demi al-Quran yang penuh hikmah (kebijaksanaan). 3Sesungguhnya engkau benar-benar termasuk para rasul. 4Yang berada di atas jalan yang lurus. 5Diturunkan oleh Tuhan Penjaga Yang Maha Perkasa, Yang Maha Penyayang. 6Supaya engkau beri amaran peringatan kepada satu kaum yang nenek moyang mereka sudah lama tidak diberi amaran, lalu mereka menjadi lalai. 7Sememangnya telah jatuh keputusan azab ke atas kebanyakan mereka maka mereka tidak akan beriman. 8Kami letakkan belenggu pada leher mereka sampai ke dagu, lalu kepala mereka terangkat ke atas (menjadi angkuh tidak mahu akur dan tunduk kepada wahyu). 9Kami letakkan dinding di hadapan mereka dan dinding di belakang mereka, lalu Kami tutup mereka, maka mereka tidak dapat melihat dan memahami. 10Sama sahaja bagi mereka, engkau beri amaran peringatan atau engkau tidak beri amaran peringatan, mereka tetap tidak akan percaya. 11Engkau hanya dapat memberi amaran peringatan kepada orang yang mengikuti peringatan pedoman (Al-Zikra) dan kagum (segan) dengan Tuhan Yang Maha Mengasihani (Al-Rahman) walaupun mereka tidak melihat-Nya. Mereka akan mendapat keampunan dan ganjaran yang besar. 12Sesungguhnya Kami menghidupkan orang yang mati, dan Kami menulis apa yang mereka lakukan dan jejak perbuatan mereka yang lepas. Segalanya Kami catat dalam satu rujukan yang jelas. 13Ceritakanlah satu contoh kepada mereka, tentang penduduk sebuah kota bila para rasul datang kepada mereka. 14Ketika Kami menghantar kepada mereka dua orang rasul dan mereka pun mendustakan kedua-duanya, maka Kami kuatkan mereka berdua dengan seorang yang ketiga. Mereka berkata, 'Sesungguhnya kami ini diutus kepada kamu semua.' 15Penduduk kota menjawab, 'Kamu semua hanyalah manusia seperti kami. Tuhan Maha Mengasihani (Al-Rahman) tidak menurunkan apa-apa pun. Kamu semua hanya bercakap bohong (berdusta).' 16Para rasul berkata, 'Tuhan Maha Mengasihani (Al-Rahman) kami mengetahui bahawa sesungguhnya kami ini benar-benar diutus kepada kamu.' 17Dan tugas kami hanyalah untuk menyampaikan notifikasi dengan jelas. 18Mereka berkata, 'Sesungguhnya kami rasa kamu pembawa sial. Jika kamu tidak berhenti, kami akan merejam kamu dan kami akan azabkan kamu bertiga degan hukuman yang pedih.' 19Rasul-rasul berkata, 'Kesialan kamu itu datang dari kepercayaan karut kamu sendiri. Adakah kerana kamu diberi peringatan yang kamu hendak mengazabkan kami? Tidak! Kamu semua memang satu kaum yang melampaui batas.' 20Dan seorang lelaki dari luar kota pun datang berlari . Dia berkata, 'Wahai kaumku, dengar dan akur kepada para rasul.' 21'Dengar dan akurlah mereka ini yang tidak meminta sebarang upah atau ganjaran daripada kamu, dan mereka berada di jalan yang benar.' 22'Dan mengapa aku tidak berkhidmat kepada Dia yang telah menciptakan aku, dan kepadaNya lah aku akan dikembalikan?' 23'Patutkah aku mengambil tuhan selain Dia? Jika Tuhan Yang Maha Penyayang (Al-Rahman) hendak kenakan kesusahan kepada aku, maka pertolongan (syafaat) tuhan-tuhan lain itu tidak akan berguna sedikit pun bagi aku, dan mereka pun tidak dapat menyelamatkan aku.' 24'Kalau lah saya buat begitu, memang aku jelas-jelas sesat.' 25'Sesungguhnya aku beriman kepada Tuhan Penjaga kamu semua. Maka dengar dan teliti lah apa aku sampaikan ini.' 26Dikatakan kepadanya, 'Masuklah ke dalam syurga.' Dia berkata, 'Alangkah baiknya jika kaumku mengetahui...' 27'... tentang bagaimana Tuhanku telah mengampuni aku dan menjadikan aku dikalangan orang yang dimuliakan.' 28Selepas dia, Kami tidak menurunkan ke atas kaumnya sebarang tentera dari langit pun untuk musnahkan mereka, dan Kami tak perlu pun buat begitu. 29Ianya cuma satu dentuman (letupan) sahaja, dan dengan sekelip mata mereka semuanya mati pupus. 30Alangkah ruginya hamba-hamba itu. Bila datangnya utusan pada mereka, semestinya diejek dan dihina. 31Tidakkah mereka melihat berapa banyak generasi yang lepas, yang Kami telah binasakan? Mereka (yang dibinasakan) tidak akan kembali. 32Dan setiap mereka semuanya akan dikumpulkan dan dihadapkan depan Kami. 33Dan salah satu tanda bagi mereka ialah bumi yang mati. Kami hidupkan bumi itu, dan Kami keluarkan daripadanya berbagai-bagai tanaman bijirin, lalu mereka makan daripadanya. 34Dan Kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur, dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air. 35Supaya mereka dapat makan buah-buahannya. Bukan tangan mereka yang menciptakannya. Maka mengapa mereka tidak bersyukur? 36Maha Agung Dia yang telah menciptakan semua pasangan, daripada apa yang bumi tumbuhkan, daripada diri mereka sendiri, dan daripada apa yang mereka tidak mengetahui. 37Dan satu tanda bagi mereka ialah malam. Kami tarik siang daripadanya, maka dengan kemudian mereka berada dalam kegelapan. 38Dan matahari berjalan ke penghujung peredarannya (atau tempohnya). Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa, Yang Maha Mengetahui. 39Dan bulan, Kami tetapkan baginya beberapa fasa sehingga ia menjadi seperti pelepah kurma yang tua dan kering. 40Tidaklah sesuai bagi matahari mendahului bulan, dan malam pula tidak mendahului siang. Masing-masing berenang (beredar) pada garis edaran yang tertentu. 41Dan satu tanda lagi bagi mereka ialah bahawa Kami telah membawa keturunan mereka dalam bahtera yang penuh sarat. 42Dan Kami ciptakan untuk mereka kenderaan-kenderaan seumpamanya yang mereka naiki. 43Dan jika Kami menghendaki, Kami boleh sahaja tenggelamkan mereka. Maka tidak ada penolong bagi mereka, dan mereka tidak diselamatkan. 44Kecuali dengan rahmat daripada Kami, dan Kami memberi mereka kesenangan hidup pada durasi tertentu. 45Dan apabila dikatakan kepada mereka, 'Takutlah pada perbuatan kamu yang akan datang dan yang dah lepas agar kamu mendapat rahmat,' mereka berpaling (tidak mahu akur). 46Dan tidak datang kepada mereka satu ayat pun daripada ayat-ayat Tuhan Penjaga mereka melainkan mereka berpaling daripadanya. 47Dan apabila dikatakan kepada mereka, 'Belanjakanlah sebahagian daripada rezeki yang Allah berikan kepada kamu,' orang-orang kafir berkata kepada orang-orang beriman, 'Patutkah kami beri makan kepada orang yang Allah sendiri boleh memberinya makan jika Dia mahu? Kamu sebenarnya dalam kesesatan yang nyata.' 48Dan mereka jugalah yang berkata, 'Bilakah janji itu akan datang, jika kamu orang yang benar?' 49Tidak lama menunggu, tapi hanya satu dentuman (letupan) sahaja yang akan menerjah (serbu) mereka ketika mereka sedang bertengkar. 50Maka mereka tidak akan mampu membuat wasiat, dan mereka juga tidak dapat kembali kepada keluarga mereka. 51Dan sangkakala pun ditiup, maka tiba-tiba mereka bangun keluar dari kubur mereka bergesa kepada Tuhan Penjaga mereka.📝(Ayat 51) 52Mereka berkata, 'Wahai celakalah kami, siapakah yang membangkitkan kami dari tempat tidur kami?' Inilah apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, dan para rasul telah mengatakan yang benar.📝(Ayat 52)🏷️ (#kubur) 53Tidak lain hanyalah satu dentuman (letupan) sahaja, maka tiba-tiba mereka semuanya dihadapkan depan Kami.📝(Ayat 53) 54Maka pada hari itu, tidak ada sebarang jiwa pun yang dizalimi walaupun sedikit, dan kamu tidak dibalas melainkan dengan apa yang kamu telah lakukan. 55Sesungguhnya ahli syurga pada hari ini sibuk bergembira. 56Mereka dan pasangan mereka sandar pada kerusi sofa sandar, di bawah teduhan nyaman. 57Di situ ada macam buah-buahan untuk mereka, dan mereka mendapat apa sahaja yang mereka minta. 58Dikatakan kepada mereka: "Salam" sebagai ucapan daripada Tuhan Penjaga Yang Maha Penyayang.📝(Ayat 58) 59Dikatakan: "Wahai penjenayah, pisah lah kamu dari orang yang baik pada hari ini.' 60Bukankah Aku telah berpesan kepada kamu, wahai anak-anak Adam, supaya kamu tidak berkhidmat untuk syaitan? Sesungguhnya dia musuh yang nyata dan jelas bagi kamu. 61Dan berkhidmat lah untuk Aku. Inilah jalan yang lurus. 62Dan sesungguhnya syaitan telah menyesatkan ramai daripada kamu. Maka tidakkah kamu berfikir? 63Inilah neraka Jahanam yang telah dijanjikan kepada kamu. 64Bakarlah kamu dalamnya pada hari ini kerana apa kamu engkar dulu. 65Pada hari ini Kami tutup mulut mereka tapi tangan mereka akan bercakap kepada Kami, dan kaki mereka akan menjadi saksi terhadap apa yang pernah mereka kerjakan. 66Dan jika Kami menghendaki, Kami boleh sahaja musnahkan penglihatan mereka, dan mereka berlumba-lumba mencari jalan tapi bagaimana mereka hendak melihat? 67Dan jika Kami menghendaki, Kami boleh terus mencacatkan mereka maka mereka tidak dapat bergerak maju atau ke belakang. 68Dan sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami lemahkannya. Tidakkah mereka menggunakan akal untuk berfikir? 69Dan Kami tidak mengajarkan syair kepada dia, dan itu tidak sesuai baginya. Ini hanyalah peringatan dan satu Quran yang jelas.📝(Ayat 69)🏷️ (#tajwid) 70Untuk mengingatkan orang yang hidup, dan untuk tetapkan hujah kes ke atas orang-orang yang kafir. 71Tidakkah mereka melihat binatang-binatang ternak yang Kami telah ciptakan untuk mereka, daripada Kami buat dengan tangan Kami, lalu mereka menjadi pemiliknya? 72Dan Kami tundukkan (jinakkan) binatang-binatang itu untuk mereka; sebahagiannya menjadi tunggangan mereka, dan sebahagiannya mereka makan. 73Dan daripada binatang-binatang itu mereka mendapat banyak manfaat dan minuman. Maka tidakkah mereka bersyukur? 74Namun mereka mengambil beberapa tuhan selain Tuhan Penjaga, dengan harapan tuhan-tuhan itu akan menolong mereka. 75Tuhan-tuhan lain itu tidak dapat menolong mereka sedikit pun, bahkan tuhan-tuhan itu perlukan kehadiran sekumpulan orang untuk bantu mereka. 76Maka janganlah engkau bersedih dengan apa yang mereka katakan. Sesungguhnya Kami mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka isytiharkan. 77Tidakkah manusia melihat bahawa Kami telah menciptakannya daripada setitik air? Tiba-tiba dia menjadi penentang yang nyata. 78Dan dia membuat perumpamaan untuk ajar Kami, dan dia lupa kepada kejadiannya sendiri? Dia berkata, 'Siapakah yang akan menghidupkan tulang-belulang yang telah hancur itu?' 79Katakanlah, 'Yang akan menghidupkannya ialah Dia yang telah menciptakannya pada kali yang pertama. Dia Maha Mengetahui setiap ciptaan.' 80Dialah yang menjadikan untuk kamu api daripada pohon yang hijau, sehingga dengan itu kamu dapat menyalakan api. 81Tidakkah Dia yang telah menciptakan langit dan bumi berkuasa untuk menciptakan semula yang serupa dengan itu? Bahkan Dia Maha Pencipta, Maha Mengetahui. 82Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, 'Jadilah', maka jadilah ia. 83Maha Agung Tuhan yang di tangan-Nya kekuasaan segala sesuatu, dan kepada-Nya-lah kamu semua akan dikembalikan.