Read Online:
Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan kebenaran sebagai pembawa khabar gembira dan pemberi amaran.
Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada padanya seorang pemberi amaran.
25Dan jika mereka mendustakanmu, sesungguhnya orang-orang yang sebelum mereka pun telah mendustakan; telah datang kepada mereka Utusan-utusan mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, kitab-kitab dan Kitab yang memberi cahaya. 26Kemudian Aku menghukum orang-orang yang ingkar; perhatikanlah bagaimana hebatnya kemurkaan-Ku. 27Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah menurunkan air dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air itu buah-buahan yang bermacam-macam warnanya. Dan di antara gunung-gunung ada garis-garis putih dan merah yang bermacam-macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat. 28Dan demikian (pula) di antara manusia, makhluk dan haiwan ternakan ada yang bermacam-macam warnanya. Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah para ilmuwan (ulama). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. 29Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat serta mengalirkan (Infaq) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka secara rahsia mahupun terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan rugi, 30Agar Allah menyempurnakan ganjaran mereka dan menambah bagi mereka dari kurniaan-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri. 31Dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dari Kitab (Al-Quran) itulah yang benar, yang membenarkan apa yang sebelumnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Mengetahui lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. 32Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami; lalu di antara mereka ada yang menzalimi diri mereka sendiri, dan di antara mereka ada yang pertengahan, dan di antara mereka ada yang mendahului dalam melakukan kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurniaan yang besar. 33(Iaitu) syurga Adn yang mereka masuki; di dalamnya mereka dihiasi dengan gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di dalamnya adalah sutera. 34Dan mereka berkata: 'Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan kesedihan dari kami. Sesungguhnya Tuhan kami benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri,' 35'Yang menempatkan kami di tempat tinggal yang kekal (Syurga) dengan kurniaan-Nya; di dalamnya kami tidak merasa penat dan tidak pula merasa lesu.' 36Dan orang-orang yang ingkar, bagi mereka api Neraka Jahanam. Mereka tidak dibinasakan sehingga mereka mati dan tidak pula diringankan azabnya daripada mereka. Demikianlah Kami memberi balasan kepada setiap orang yang sangat ingkar. 37Dan mereka berteriak di dalamnya: 'Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami, nescaya kami akan perbetulkan akidah bukan seperti apa yang pernah kami lakukan dahulu.' (Dikatakan kepada mereka): 'Bukankah Kami telah memberikan umur kepadamu dalam tempoh yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir, dan telah datang kepadamu pemberi amaran? Rasakanlah (azab ini); dan tidak ada bagi orang-orang yang dalam kegelapan seorang penolong pun.'
🏷️ (#zholimeen) 38Sesungguhnya Allah mengetahui perkara ghaib di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui apa yang ada dalam dada. 39Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi. Sesiapa yang ingkar, keingkarannya itu akan menimpa dirinya sendiri. Dan keingkaran orang-orang yang ingkar itu tidak menambah bagi mereka di sisi Tuhan mereka melainkan kemurkaan; dan keingkaran orang-orang yang ingkar itu tidak menambah bagi mereka melainkan kerugian. 40Katakanlah: 'Perhatikanlah sekutu-sekutu kamu yang kamu seru selain Allah. Perlihatkanlah kepadaku bahagian manakah dari bumi ini yang telah mereka ciptakan, atau adakah mereka mempunyai bahagian dalam (penciptaan) langit? Atau adakah Kami telah memberikan kepada mereka sebuah Kitab lalu mereka mendapat bukti-bukti yang nyata daripadanya?' Bahkan orang-orang yang dalam kegelapan itu tidak menjanjikan sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain melainkan tipu daya sahaja.🏷️ (#zholimeen) 41Sesungguhnya Allah menahan langit dan bumi agar tidak lenyap; dan sekiranya keduanya lenyap, tidak ada seorang pun yang dapat menahan keduanya sesudah itu. Sesungguhnya Dia Maha Penyantun lagi Maha Pengampun. 42Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan sumpah yang bersungguh-sungguh; bahawa jika datang kepada mereka seorang pemberi amaran, nescaya mereka akan lebih mendapat petunjuk daripada salah satu umat (yang lain). Apabila datang kepada mereka pemberi amaran, ia tidak menambah bagi mereka melainkan kejauhan (dari kebenaran), 43Kerana kesombongan di bumi dan rancangan jahat. Dan rancangan yang jahat itu tidak akan menimpa melainkan orang yang merancangnya sendiri. Adakah mereka hanya menunggu sunnah (ketetapan) orang-orang terdahulu? Kamu sekali-kali tidak akan dapati perubahan pada sunnah Allah, dan kamu sekali-kali tidak akan dapati penyimpangan pada sunnah Allah. 44Dan adakah mereka tidak berjalan di bumi lalu memperhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka, padahal orang-orang itu lebih kuat daripada mereka? Dan tidak ada sesuatu pun di langit mahupun di bumi yang dapat melemahkan Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa. 45Dan sekiranya Allah menghukum manusia disebabkan apa yang telah mereka kerjakan, nescaya Dia tidak akan meninggalkan di atas permukaan bumi sesuatu makhluk pun; tetapi Dia menangguhkan mereka sampai ke tempoh (fasa) yang ditetapkan. Apabila datang tempoh mereka, sesungguhnya Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.